KUALA LUMPUR – Satu sesi pemukiman antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Kabinet akan diadakan esok.
Menurut sumber yang rapat dengan seorang menteri, sesi pemukiman itu akan diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana.
“Sesi pemukiman antara PM dan Jemaah Kabinet akan diadakan esok, jam 8.30 pagi di Seri Perdana.
“Bagaimanapun, perincian mengenai pemukiman masih belum diberitahu, cuma ia berkaitan dengan soal Indeks Prestasi Utama (KPI) yang PM cakap sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sesi pemukiman yang akan dibuat esok disentuh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil dalam satu acara di Lembah Pantai, pagi tadi.
Fahmi berkata, perkara yang akan dibincangkan esok adalah mengenai hala tuju Kerajaan Perpaduan dan usaha untuk menetapkan KPI bagi setiap kementerian.
Sebelum ini, Anwar berkata, satu program pemukiman akan dibuat beliau bagi menetapkan KPI setiap kementerian.
Program itu bertujuan mendapatkan input daripada menteri selepas lebih sebulan memikul tanggungjawab, dan mengemukakan perkara yang boleh dilakukan atau diperbaiki. – MalaysiaGazette