KUALA LUMPUR – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sepenuhnya tindakan terhadap bekas Ketua Pemuda Pergerakan UMNO Khairy Jamaluddin kepada lembaga disiplin parti dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ahmad Zahid tidak mahu mengulas panjang tuduhan yang dibuat Khairy Jamaluddin mengenai usul tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.
“Itu satu perkara lain yang akan dibincangkan oleh Lembaga Disiplin dan oleh bekas ketua bahagiannya,” kata Ahmad Zahid ringkas dalam sidang akhbar selepas tamat Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau mendakwa, beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, ditanggalkan untuk undian usul.
Menerusi satu video di akaun Tik Tok, Khairy berkata, tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan ‘import’ dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Beliau pada masa sama hairan penambahan usul itu dibentangkan oleh pembahas dari Negeri Sembilan, Mohd. Shukri Samsudin yang merupakan orang Rembau.
Sedangkan menurut Khairy, timbalan presiden sendiri iaitu Mohamad adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau.
“Pelik sebab timbalan presiden ialah Ketua UMNO Bahagian Rembau, kalau nak bawa penambahan usul pun cover lah sikit, what happen to you Mat Hassan?
“Jadi usul ini (tidak ada pertandingan jawatan nombor 1 dan 2) sedang dibahas tapi mendapat tentangan hebat daripada beberapa pembahas Wilayah Persekutuan, Johor yang masih berani untuk menghormati kehendak perwakilan supaya demokrasi dapat dijalankan seperti biasa dalam parti UMNO,” katanya.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menyarankan Lembaga Disiplin UMNO mengenakan tindakan disiplin terhadap bekas Menteri Kesihatan itu.
“Saya minta Lembaga Disiplin UMNO untuk mengambil tindakan kepada KJ yang semberono mengeluarkan kenyataan berniat jahat.
“Selepas ini, saya akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin supaya mengambil tindakan dan berharap KJ boleh digantung daripada ahli UMNO,” katanya.-MalaysiaGazette