ACP Mohd Zaid Hassan

KAJANG- Polis masih mengesan waris kepada seorang kanak-kanak lelaki yang ditemukan di tepi jalan dengan kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan, tangan, jari dan dahi di Cheras Utama, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya belum melakukan tangkapan suspek dalam kes tersebut.

“Polis masih mengesan waris mangsa itu bagi membantu siasatan kami dan usaha menjejaki ahli keluarga kanak-kanak itu telah dipergiatkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 13 Januari lalu, seorang kanak-kanak yang dianggarkan berusia antara tiga hingga empat tahun ditemukan oleh orang awam di tepi jalan dalam keadaan letih pada jam 11.30 malam.

Siasatan mendapati beberapa kesan kecederaan pada badan mangsa dan kanak-kanak tersebut masih berada dalam rawatan san pemerhatian perubatan di Hospital Kajang dan keadaan dilaporkan stabil.

Polis telah membuka kertas siasatan membabitkan penemuan kanak-kanak itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mempunyai elemen penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan ataupun berhubung dengan pegawai, Inspektor Mohd Zaiyaudi Mohd Yaakub di talian 019-5355395. – MalaysiaGazette