KUALA LUMPUR – UMNO menafikan dakwaan wujud pengundi hantu yang dibawa masuk untuk meluluskan usul agar dua jawatan tertinggi dalam parti tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) semalam.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan jahat dan fitnah.
Malah jelasnya, beliau telah meminta Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin untuk mengarahkan keluar sekiranya terdapat bukan ahli perwakilan di dalam dewan.
“Diyakini 100 peratus tidak benar tuduhan liar itu. Kad yang tertera gambar perwakilan adalah dipakai sepanjang persidangan dan jiran-jiran kerusi perwakilan saling mengenali malah pengacara juga umumkan agar perwakilan duduk di kerusi masing-masing yang telah ditetapkan.
“Lokasi video itu ialah di Bilik Terengganu iaitu bilik yang dikhususkan kepada Sekretariat Skuad Sabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sejak semalam tular satu video yang memaparkan sekumpulan individu berada di dalam sebuah bilik tertutup dipercayai bagi mendengar taklimat.
Menerusi keterangan pada video berdurasi 40 saat yang tidak didedahkan identitinya, kumpulan individu itu didakwa sebagai pengkhianat parti yang sebenar.
“Sah pengundi hantu dibawa masuk. Inilah sebenarnya pengkhianat sebenar kepada sistem demokrasi parti siasah terbesar Melayu.
“Menggunakan taktik kotor pengundi hantu dan sorak liar untuk menafikan hak ahli UMNO seluruh negara memelihara Presiden dan Timbalan Presidennya,” katanya.
Semalam bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang memuatkan video yang sama turut mendakwa wujud komplot Langkah Dewan Merdeka untuk meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.
Khairy mendakwa, ‘tag‘ (tanda) pada kerusi dalam Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO sudah ditanggalkan ketika ini sebagai usaha membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi meluluskan usul tambahan berkenaan. – MalaysiaGazette
pengalaman melalui tauladan . boleh buaf audit forensit siasat lah dari vedio yang ada untok pengesahan