Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bercakap kepada media ketika di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Keputusan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden adalah atas kepentingan parti.

Justeru Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Said berkata, terpulang kepada pihak lain termasuk Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy untuk membuat tafsiran masing-masing.

“Itu bagi dia. Dalam politik macam-mana tafsiran boleh buat. Dia melihat dari prospek apa? Kita melihat kepentingan parti dulu. Enam negeri akan bertanding (pilihan raya) dalam tempoh enam bulan.

“Bayangkan kalau pertandingan parti kita berkempen bukan untuk pilihan raya. Kempen untuk diri sendiri untuk menang. Parti hancur tak apa bagi mereka asalkan menang jawatan. Parti lebih penting. Kita tidak mahu berpecah lagi,” kata Ahmad Said.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ramasamy bahawa kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada parti itu dan Kerajaan Perpaduan.

Ia susulan PAU 2022 yang berakhir kelmarin yang meluluskan usul untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan parti, yang mesti diadakan sebelum 19 Mei ini.

Melalui satu muat naik di Faceebok, Ramasamy menegaskan, keputusan itu mungkin melegakan UMNO, tetapi kelihatannya seperti duri dalam daging buat UMNO, Pakatan Harapan dan kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kesediaan BN berkongsi kerusi dengan PH dalam Pilihan Raya Negeri nanti, Ahmad Said yang merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu  berkata, perkara tersebut belum dibincangkan.

Menurut beliau, masih terlalu awal itu membincangkan pembahagian kerusi di Terengganu dengan PH.

“Masa terlalu awal, kita belum bincang lagi,” katanya ringkas dalam sidang akhbar di Menara Dato’ Onn hari ini.

Ahmad Said berkata, BN menunggu masa yang sesuai untuk melakukan perbincangan dengan PH.

Selain Terengganu lima negeri iaitu Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang perlu mengadakan pilih raya negeri sebelum Julai ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast