Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A. Anbalagan.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki yang menyamar pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) untuk  memeras ugut berjaya ditahan polis di sebuah premis salun kecantikan di Bandar Puteri, Puchong pada 12 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, pihaknya telah menerima dua laporan dan telah membuat risikan selama tempoh dua minggu daripada laporan pertama.

“Ketiga-tiga suspek lingkungan umur 38 hingga 48 tahun ditahan pada pukul 12 tengah hari semasa sedang menyamar sebagai pegawai KKM untuk melakukan pemeriksaan di salun tersebut.

Hasil siasatan polis berjaya merampas produk-produk kecantikan di Wangsa Maju.

“Hasil soal siasat telah berjaya menemukan lima buah mesin Platelet-Rich Plasma (PRP) dan 35 jenis produk kecantikan pelbagai jenama di sebuah rumah sewa Seksyen 2, Wangsa Maju,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Anbalagan berkata, modus operandi yang dijalankan ialah dengan menyasarkan premis-premis kecantikan yang tidak mempunyai lesen KKM bagi menjalankan perkhidmatan menggunakan peralatan perubatan dan penjualan ubat-ubatan rawatan estetik.

“Pemilik premis yang gagal mempamerkan lesen akan diperas ugut untuk dikenakan tindakan saman atau denda sehingga RM200, 000 dan penjara.

“Mereka yang berasa ketakutan akan membuat bayaran kepada suspek bagi mengelak tindakan diambil ke atas pemilik premis,” katanya.

Menurut Anbalagan, kesemua suspek telah bergiat aktif dalam kegiatan sejak bulan September tahun lalu sehingga kini di kawasan sekitar Lembah Klang seperti Serdang, Petaling Jaya, Shah Alam, Bukit Jalil, Sentul dan sekitar Kuala Lumpur. 

“Sindiket ini dipercayai telah melakukan kegiatan seumpama ini terhadap 20 premis dan telah peroleh lebih kurang RM42, 000 hasil kegiatan pemerasan,” jelasnya.

Tambah beliau, pelbagai barangan telah dirampas antaranya tiga helai baju korporat warna biru, tiga vest warna hitam tertera “Penguatkuasa MMC KKM”, “Penguatkuasa Farmasi KKM” dan “Penguatkuasa CKAPS KKM yang ditempah di sebuah kedai jahit di Kuala Lumpur.

Selain itu, turut dirampas tiga pasang topi, tiga tag pengenalan diri dan tiga tali kad (lanyard) yang kesemuanya tertera tulisan KKM.

Kesemua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pemerasan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam.

“Suspek telah direman sehingga 16 Januari 2023 dan akan dibuat permohonan sambung reman. Jika sabit kesalahan bagi kes pemerasan, boleh dipenjara selama tempoh sehingga sepuluh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua dari hukuman itu.

“Manakala bagi kes menyamar penjawat awam boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” jelasnya.

Anbalagan berkata, pemilik premis seumpama ini yang pernah menjadi mangsa dan belum membuat laporan boleh tampil membuat laporan polis dengan segera. -MalaysiaGazette