Dua pegawai polis yang berpangkat Deputi Superintendan dan Inspektor direman empat hari bermula 17 Jan bagi membantu siasatan kes membuat tuntutan palsu berjumlah RM19,800.

KUCHING – Dua pegawai polis, masing-masing berpangkat Deputi Superintenden (DSP) dan Inspektor direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu, empat tahun lepas.

Majistret Siti Farah Ibrahim mengeluarkan perintah reman itu terhadap kedua-dua suspek yang ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak kira-kira 3.15 petang semalam.

Kedua-dua suspek yang berumur 49 tahun itu disyaki bersubahat bersama seorang pengurus sebuah syarikat untuk mengemukakan invois dan pesanan kerajaan yang mengandungi butiran palsu berjumlah RM19,980.

Invois dan pesanan kerajaan itu adalah bagi perkhidmatan dan pembaikan bangunan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau, dekat Sibu, iaitu tempat kedua-dua pegawai terbabit bertugas pada 2019.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di Sibu memerintahkan pengurus syarikat berumur 39 tahun yang disyaki bersubahat dengan kedua-dua pegawai polis berkenaan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.- BERNAMA