fatwa
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan disarankan melihat semula kaedah menyalurkan wang bantuan awal persekolahan daripada dimasukkan ke akaun sekolah, kepada akaun murid.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ketika membuat saranan itu berkata, syarat ibu atau bapa perlu hadir bersama anak ke sekolah untuk mengambil wang bantuan itu juga sebagai membazir masa.

“Kenapa kerajaan perlu masukkan wang bantuan itu ke akaun guru besar? Kenapa tidak masukkan terus ke akaun murid berkenaan?

“Ini yang berlaku kepada seorang guru besar apabila wang bantuan yang dikeluarkan dari bank telah dicuri. Ini membahayakan nyawa dan harta kerajaan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Semalam, media melaporkan, seorang guru besar kehilangan wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya, di Semenyih, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 12.17 tengah hari daripada guru berusia 50 tahun itu.

Siasatan awal polis mendapati mangsa telah mengeluarkan wang berkenaan daripada sebuah bank di Kampung Baru Semenyih kira-kira jam 10 pagi dan memasukkannya dalam sebuah beg.

Mangsa kemudian meletakkan beg berkenaan di tempat duduk penumpang hadapan keretanya untuk pergi ke kedai makan membeli minuman.

Kata Zaid, syarat ibu atau bapa perlu hadir bersama anak juga tidak relevan kerana ia membebankan mereka terutama yang bekerja dan perlu mengambil cuti semata-mata untuk mendengar ceramah.

“Ini duit kerajaan, tidak perlulah beri ceramah. Rakyat pun tahu beza duit kerajaan dengan duit parti. Jadi, tidak perlulah ibu atau bapa berhabisan tiga empat jam semata-mata penyampaian wang bantuan persekolahan ini.

“Kawan saya nak pergi ke Terengganu sekolah anak dia kerana kena penuhi syarat sekolah. Hari ini kena teman anak tingkatan satu untuk ambil duit, esok kena temankan anak tingkatan dua pula untuk ambil duit.

“Takkan ibu bapa sampai dua hari kena tinggal di hotel untuk temankan anak. Ini membazir masa, membazir duit ibu bapa. Bantuan awal persekolahan dapat sikit saja,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, Kerajaan Perpaduan perlu ubah kaedah ini dan Menteri Pendidikan pula, perkara sekecil ini yang wajib diubah. – MalaysiaGazette