muda UMNO
Para perwakilan mendengar ucapan dasar daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2023.-Gambar hiasan.

KETETAPAN Perhimpunan Agung UMNO 2022 bahawa dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan yang diharapkan dapat membawa kestabilan menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) dilihat memberi kesan di sebaliknya.

Walaupun majoriti perwakilan menyokong usul tersebut, sebahagian akar umbi di peringkat cawangan seluruh negara mempunyai pendirian berbeza.

Rata-rata mereka berharap agar semua jawatan dibuka untuk pertandingan pada pemilihan UMNO tahun ini.

Mereka percaya langkah itu berupaya memberi keabsahan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden dan Datuk Seri Mohamad Hasan selaku timbalan untuk tempoh sepenggal lagi.

Berdasarkan sokongan padu yang diberikan oleh 140 ketua UMNO bahagian terhadap usul tiada pertandingan baru-baru ini, pasti tiada masalah sekiranya Ahmad Zahid dan Mohamad dicabar.

Bagaimanapun, ramai akar umbi UMNO yang bimbang ketetapan tersebut boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu kelak.

Kebimbangan mereka itu telah disuarakan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejurus selepas Perhimpunan Agung UMNO 2022 berakhir Sabtu lalu.

Beliau secara terbuka menyatakan ketetapan tersebut boleh mengurangkan lagi kepercayaan anak muda terhadap keterbukaan UMNO sekali gus menyekat minat mereka terhadap parti.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan UMNO dan BN masih gagal menarik sokongan pengundi muda khususnya pengundi kali pertama yang berumur antara 18 hingga 21 tahun.

Terdapat kemungkinan pola serupa akan berulang pada PRN di enam negeri berkenaan, lebih-lebih lagi apabila sebahagian besar kini disuap dengan dakyah ‘demokrasi sudah mati dalam UMNO’.

Kesukaran menarik minat golongan muda khususnya yang berpendidikan tinggi untuk menganggotai sayap Pemuda dan Puteri UMNO merupakan satu hakikat yang pahit dan terpaksa ditelan.

Sebagai sebuah parti yang lama, UMNO amat memerlukan tenaga dan buah fikiran anak muda peringkat akar umbi untuk meremajakan dan merancakkan kembali gerak kerja parti khususnya bagi melaksanakan kempen pilihan raya.

Namun, perkembangan terkini dalam UMNO boleh menyebabkan mereka kurang berminat untuk menyokong parti itu apatah lagi untuk menganggotainya.

Tanpa penyertaan generasi muda dikhuatiri lama-kelamaan UMNO yang pernah gah dalam dunia politik tanah air akan menjadi sebuah ‘parti dinosaur’ yang menunggu saat kepupusannya.

Sama seperti dinosaur, haiwan raksasa itu yang hilang ditelan bumi selepas Zaman Jurasik berakhir. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.