Keratan laporan media mengenai jambatan uzur di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan jambatan uzur di Gua Musang, Kelantan dibaiki walaupun ia bukan satu-satunya laluan keluar masuk penduduk di kawasan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya prihatin selepas beritanya mengenainya disiarkan melalui media.

“Setelah dilakukan siasatan, saya dimaklumkan jambatan tersebut bukanlah satu-satunya laluan keluar masuk yang ada di kawasan tersebut tetapi pihak JAKOA (Jabatan Kebajikan Orang Asli) telah membina sebuah jalan konkrit di sebelah belakang kawasan kampung yang seterusnya bersambung dengan jalan berturap tar menuju ke Kampung Orang Asli Liak dan Kuala Rengil.

“Jalan konkrit tersebut merupakan laluan utama dan boleh diakses oleh kereta, pacuan empat roda dan motosikal.

“Namun begitu, saya telah meminta pihak KESEDAR (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) dan JAKOA Negeri Kelantan untuk mengambil tindakan segera dan sekiranya memerlukan proses baik pulih atau penambahbaikan ia akan dilakukan demi keselamatan penduduk di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan hampir 500 penduduk Orang Asli berdepan risiko keselamatan termasuk kehilangan nyawa di Gua Musang.

Penduduk di Kampung Brooke Lama, POS Brooke yang menggunakan jambatan tersebut untuk pelbagai tujuan termasuklah menghantar anak ke sekolah. – MalaysiaGazette