Lapan lot kedai makan di Astaka Stadium Bandaraya Pulau Pinang musnah dalam kebakaran hari ini.

GEORGE TOWN – Lapan lot kedai makan di Astaka Stadium Bandaraya di Jalan Perak di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pukul 7.25 pagi itu meskipun ada beberapa pembantu kedai dilaporkan sedang membuat persiapan membuka perniagaan masing-masing.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fadzil Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran astaka berusia 38 tahun itu pukul 7.30 pagi.

Katanya, seramai 18 anggota bergegas ke tempat kejadian dibantu Pasukan Bomba Sukarela Paya Terubong.

Pihak bomba sedang melakukan kerja-kerja pemadaman api di lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati api sedang marak membabitkan lapan kedai makan di astaka itu. Bomba mengalami kesukaran ke tempat kejadian kerana kesesakan lalu lintas berikutan waktu puncak.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pukul 7.52 pagi,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang pembantu kedai, Zahuni Alwi, 43, berkata, dia berada di lokasi itu pukul 6.30 pagi bagi membersihkan kedai sebelum menyedari berlaku kebakaran.

“Saya menyedari api menyambar kedai makan di sebelah dan dalam keadaan panik, saya hanya sempat mengangkat dua tong gas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast