Lelaki yang mengamuk menggunakan pisau ditenangkan oleh anggota polis sebelum ditahan.

KUALA LUMPUR – Seorang tukang gunting rambut dipercayai pesakit mental ditahan polis selepas mengamuk menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di Taman Lembah Maju, Pandan Indah, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai pada pukul 10.51 pagi.

”Polis merampas sebilah pisau pemotong daging berhulu kayu dengan lilitan tali rafia, panjang lebih kurang 30 sentimeter selepas menenangkannya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamad Farouk berkata, pemeriksaan awal mendapati, suspek merupakan pemegang kad pesakit mental (PSY) dan mempunyai rekod serta sedang menjalani rawatan di wad kuning PSY di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kerana menakutkan secara jenayah, jika disabit salah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tular dua video memaparkan suspek yang disyaki mengalami masalah mental menghalakan parang yang dipegangnya kepada anggota polis yang memegang papan penghadang keselamatan.

Lelaki yang memakai jaket, berseluar panjang serta bertopi keledar itu dilihat cuba mengacukan pisau pemotong daging tersebut ke arah anggota polis yang cuba menenangkannya. – MalaysiaGazette