Syed Hassan Syed Ali
Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyambut baik ketegasan kerajaan dalam isu keselamatan jalan raya sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina.

Bagaimanapun, Presidennya, Syed Hassan Syed Ali berkata, kerajaan juga wajar memasukkan kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol antara kes yang tidak boleh dikompaun.

“Kita ucap tahniah atas ketegasan kerajaan dalam isu ini, apa pun amaran keras ini lebih kurang sama pada tahun 2016 dan 2022, yang mana daripada lima kepada enam kesalahan tanpa kompaun.

“Tetapi, dalam ketegasan penguatkuasaan isu ini, jangan lupa kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol dan pemandu yang dikesan positif alkohol minimum juga wajar didakwa terus ke mahkamah.

“Bukan sahaja pemandu dikenakan kompaun, kenderaan mereka juga wajar ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyenaraikan tujuh kesalahan utama lalu lintas sempena Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baharu Cina peringkat Kebangsaan 2023 yang tidak dibenarkan kompaun.

Kesalahan itu melibatkan memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

Operasi itu bermula semalam hingga 28 Januari ini yang melibatkan pelbagai pihak penguat kuasa termasuk 2,000 anggota JPJ di seluruh negara.

Menurut Syed Hassan, pemandu yang didapati positif alkohol tidak boleh dibenarkan memandu kenderaan selepas disaman.

“Kerajaan dan JPJ mesti tegas kepada semua kesalahan. Jangan ambil ringan  sehingga setiap musim perayaan menjadi pesta mengira jumlah yang terkorban,” katanya. – MalaysiaGazette