C. Kaviarasan, 27, didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan memukul bapanya menggunakan topi keledar sehingga cedera minggu lalu.

MELAKA – Hanya kerana diminta hidup berdikari oleh bapanya, seorang anak didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan memukul bapanya menggunakan topi keledar sehingga cedera minggu lalu.

Tertuduh, C. Kaviarasan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan menggunakan topi keledar terhadap bapanya S. Chandran, 58, di sebuah rumah di Taman Seri Telok Emas dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 7 pagi 12 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Difahamkan tertuduh bertindak mencederakan bapanya itu selepas berang apabila diminta hidup berdikari termasuk mencari tempat tinggal sendiri.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 beserta syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran serta tidak mendekati mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tiba-tiba menangis sambil merayu jaminan dikurangkan dengan alasan telah memberikan kerjasama baik kepada pihak polis.

Darmafikri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan berkenaan dan menetapkan 22 Februari ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast