Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu terus mengadakan libat urus dengan pihak bekepentingan Kesatuan Eropah (EU) dan EU bagi memastikan perspektif daripada negara-negara pengeluar dan pengeksport diberikan pertimbangan, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

“(Libat urus yang berterusan ini penting) berikutan ia mungkin boleh menyumbang kepada pembentukan instrumen undang-undang masa depan yang akan menjadi contoh dalam bidang kuasa lain di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MPOC berkata, ini dapat memastikan penglibatan Malaysia dalam konteks bilateral dan multilateral dalam elemen seperti pengiktirafan bersama ke atas standard dan rangka kerja kemampanan utama; penerimaan dan pengiktirafan skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) serta menyertakan peruntukan khusus kepada pekebun kecil dalam mana-mana peraturan semasa atau akan datang.

Pada masa ini EU sedang mengusahakan beberapa fail perundangan untuk menangani penebangan hutan dan memastikan kemampanan produk yang akan memberi kesan kepada banyak komoditi termasuk minyak sawit.

Insiatif perundangan dan kawal selia selanjutnya yang memberi impak kepada perhutanan, termasuk peraturan baharu untuk menambah baik pemulihan alam semula jadi, saranan untuk memperakui penyingkiran karbon serta Rangka Kerja Pemantauan Hutan EU akan dibincangkan lebih lanjut oleh pihak berkepentingan EU dalam masa beberapa bulan akan datang.

Banyak dasar dan instrumen undang-undang yang dibincangkan di EU akan memberi kesan kepada minyak sawit dan bersedia untuk menetapkan penanda aras global seperti yang diperlihatkan dalam Akta Hutan Amerika Syarikat, katanya.  – BERNAMA