KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau telah menganjurkan projek Escape Room: Lost in Seri Menanti dalam usaha untuk mempromosi sektor pelancongan dan warisan Negeri Sembilan kepada masyarakat.
Ia adalah projek pelajar semester akhir Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media yang mendapat tajaan Bazaarlokal dan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA)
Penasihat Projek yang juga merupakan pensyarah di universiti itu, Nurliyana Kamilah Khairul Anuar menyifatkan sebagai satu usaha membantu para pelajar meneroka, melengkapkan diri mereka dengan kemahiran insaniah yang diperlukan dalam pengurusan acara dan dalam berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan.
“Projek ini memberi pendedahan kepada para peserta tentang sejarah, budaya dan keunikan negeri itu serta mengajar pelajar tentang kepentingan dalam menerapkan tradisi dan warisan di Malaysia.
“Ia dibahagikan kepada tiga bahagian dan ia tertumpu kepada aktiviti dan sejarah yang berkaitan dengan Negeri Sembilan iaitu permainan tradisional, pakaian tradisional dan tempat bersejarah beserta dialek dan budaya di Negeri Sembilan.
“Semua para peserta perlu menyelesaikan misi-misi di dalam Escape Room selama 15 minit sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Escape Room: Lost in Seri Menanti turut disertai oleh pelajar Maktab Rendah Sains Mara, Alor Gajah, pelajar Kolej Vokasional Dato’ Undang Hj. Muhammad Sharip selain dibuka kepada pengunjung luar serta warga UiTM sendiri.
Projek di bawah program Nogorihood dirasmikan oleh Penolong Rektor UiTM Kampus Rembau, Prof Madya Dr. Muhammad HakimiTew Abdullah.
Sementara itu, Pengurus Projek, Nurul Batrisyia Zailani percaya program ini memberi impak kepada masyarakat dimana mereka dapat mengetahui tentang warisan dan tradisi di Negeri Sembilan dan projek ini juga menggalakkan pelajar UiTM sebagai penganjur untuk merapatkan hubungan dengan komuniti setempat.
Katanya, ia juga sebahagian daripada keperluan akademik subjek Projek Profesional bagi pelajar semester akhir Diploma Komunikasi dan Media. – MalaysiaGazette