Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd NaÕim Mokhtar menyampaikan sumbangan kepada waris Shaary Ahmad, Amar Irfan Shaary dan ibunya, Siti Rahmah Che Heng yang diserang strok di Madinah di Kompleks Islam Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Seorang jemaah umrah yang diserang angin ahmar ketika mengerjakan umrah di tanah suci Mekah mendapat perhatian Yayasan Taqwa yang menyumbangkan kira-kira RM30,000 untuk menyelesaikan kos rawatan di Arab Saudi.

Sumbangan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na’im Mokhtar di pejabatnya di sini, pagi ini.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia prihatin dengan masalah dihadapi keluarga pesakit berkenaan, Shaary Ahmad, 72, yang diserang strok di Madinah minggu lalu dan kesukaran untuk membawa pulang ke tanah air kerana tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.

Katanya, dengan keprihatinan Yayasan Taqwa, akhirnya Shaary dapat dibawa pulang dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya.

“Waris pesakit ini menghadapi masalah kewangan untuk menyelesaikan kos rawatan di hospital di Madinah yang berjumlah kira-kira RM100,000.

“Saya dimaklumkan, keluarga ini memerlukan kira-kira RM30,000 lagi untuk menyelesaikan kos rawatan dan Alhamdulillah, Yayasan Taqwa telah menyumbang jumlah itu.

“Kini, Shaary telah dirawat di Hospital Putrajaya dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya kepada media selepas menyampaikan cek berjumlah RM30,000 kepada anak Shaary, Amar Irfan di pejabatnya, di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd NaÕim Mokhtar bercakap pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan waris Shaary Ahmad rakyat Malaysia yang diserang strok di Madinah di Kompleks Islam Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2023.

Shaary bersama isterinya, Siti Rahmah Che Heng, 67, mengerjakan umrah pada pertengahan Disember lalu, diserang strok ketika di Madinah.

Beliau menerima rawatan di sebuah hospital di sana, tetapi ahli keluarga tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menyelesaikan kos rawatan.

Serentak itu, ahli keluarga berkenaan memaklumkan kepada Kedutaan Malaysia mengenai keadaan ayahnya dan telah dinasihatkan untuk membawa pulang ke tanah air.

Namun, sebanyak RM100,000 diperlukan bagi menanggung kos proses membawa pulang Shaary menyebabkan keluarganya terpaksa memohon bantuan kepada orang ramai kerana tidak berkemampuan.

Prihatin dengan usaha dan ujian yang ditanggung keluarga Shaary, Yayasan Taqwa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyumbangkan sebahagian daripadanya bagi meringankan beban yang ditanggung.

Sementara itu, Siti Rahmah ketika ditemui berkata, beliau berterima kasih dan bersyukur dengan keprihatinan kerajaan Malaysia menerusi Dr. Na’im yang menyumbangkan RM30,000 bagi mereka menyelesaikan kos rawatan suaminya.

Beliau yang tinggal di Baling, Kedah kini tinggal bersama anaknya, Amar Irfan di Dengkil untuk membolehkannya berulang alik melawat suami yang dirawat di Hospital Putrajaya.

“Wang ini akan digunakan untuk menyelesaikan bayaran rawatan hospital di Madinah dan suami kini dalam keadaan stabil di Hospital Putrajaya dengan kawalan rapi doktor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast