KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyiasat dakwaan kenaikan harga tambang bas sempena cuti Tahun Baharu Cina.
Ia ekoran laporan media berlaku kenaikan tiga kali ganda tambang bas ekspres dari Manjung ke Lembah Klang baru-baru ini.
“Siasatan mendapati pengendali bas tidak mempunyai laluan yang diluluskan oleh APAD bagi laluan Manjung ke Shah Alam,” kata satu kenyataan APAD malam ini.
Ia merupakan satu kesalahan di bawah syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan oleh APAD.
APAD memandang serius terhadap mana-mana pengendali berlesen kenderaan perkhidmatan awam yang tidak mematuhi ketetapan syaratsyarat lesen dan boleh dikenakan tindakan tegas ke atas syarikat berkenaan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
Di bawah akta yang sama, mana-mana pengendali yang didapati melanggar mana-mana syarat lesen boleh dikenakan tindakan dan sekiranya disabitkan kesalahan didenda tidak kurang daripada RM1,000 tidak lebih dari RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Di bawah peraturan semasa, terdapat dua jenis kategori perkhidmatan bas ekspres iaitu jenis kategori ekonomi dan kategori eksekutif di mana kadar tambang bagi kategori ekonomi dikawal selia dan ditetapkan oleh pihak kerajaan manakala kadar tambang eksekutif adalah berdasarkan penawaran dan permintaan.
“APAD ingin mengingatkan kepada orang ramai untuk membuat pilihan yang bijak semasa membeli tiket bas kerana harga tiket adalah berbeza mengikut jenis perkhidmatan yang ditawarkan kepada penumpang,” ujarnya kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette