Pelajar-pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program ‘Putra Tuition B40’ dengan bayaran serendah RM5 bagi setiap mata pelajaran

SERDANGSeramai 12 pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program ‘Putra Tuition B40’ dengan bayaran serendah RM5 bagi setiap mata pelajaran baru-baru ini.

Program tersebut dijalankan pada setiap hari Jumaat hingga Sabtu di KMB dan dianjurkan oleh kelab Putra Tuition di bawah Sekretariat Keusahawanan, Majlis Perwakilan Kolej KMB.

Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Prof. Madya Dr. Jasronita Jasni berkata, program tiusyen tersebut dibuat untuk pelajar sekolah rendah di sekitar kawasan Serdang yang berhampiran dengan UPM.

Seorang pelajar KMB UPM bersama pelajar sekolah rendah yang dibimbingnya.

“Program ini diharapkan dapat meringankan beban ibu bapa daripada golongan B40 dalam menyediakan kos pembiayaan tuisyen yang rendah dan berpatutan kepada anak-anak mereka.

“Program ini juga dapat membantu pelajar KMB yang bertugas sebagai pengajar untuk meraih sedikit wang saku perbelanjaan mereka di kampus melalui pembayaran yuran tuisyen.

“Di samping itu ia dapat mengasah bakat kemahiran insaniah mereka dalam menyampaikan ilmu dengan lebih efektif dan efisien,” kataya dalam kenyataan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata pihak universiti wajar mengambil inisiatif untuk membantu masyarakat berpendapatan rendah dengan perspektif pendidikan yang kondusif di UPM.

“Usaha pelajar UPM dan KMB ini selaras dengan amanat Perdana Menteri Malaysia dalam  Membangun Malaysia Madani dari aspek Pendidikan di mana reformasi pendidikan menuntut penerapan pemikiran kritis dan kreatif termasuk konsep ihsan.

“Program tiusyen ini walaupun kecil, ia menyokong pembinaan sebuah masyarakat madani yang bersifat ihsan, peduli dan merasai keperitan orang miskin seperti yang terkandung dalam gagasan Malaysia Madani,” katanya. – MalaysiaGazette