Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 3,701 individu diberkas dalam tempoh 72 jam menerusi Operasi (Ops) Tapis Khas di seluruh negara yang bermula pada 17 Januari lalu.

Operasi yang dilakukan serentak oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman serta JSJN semua kontinjen negeri itu turut membawa kepada rampasan dadah berjumlah RM4.64 juta.

Rampasan dan tangkapan itu dilakukan selepas melakukan sejumlah 2,508 pemeriksaan di sarang penagihan dadah, Felda, Felcra, ladang swasta, PPRT, PPR, kampung nelayan serta sekatan jalan raya.

Sumber berkata, menerusi operasi khas itu kali ini, seramai 4,420 orang telah diperiksa namun hanya 3,701 individu ditangkap yang turut membabitkan 446 tokan dan 183 orang yang dikehendaki.

Kesemua individu yang ditahan itu adalah berusia lingkungan antara 14 hingga 71 tahun.

“Sepanjang operasi dilaksanakan, kita telah berjaya merampas 894 kilogram pelbagai jenis dadah, 53.23 liter pelbagai jenis cecair dadah, 647.6 kilogram daun ketum dan sebanyak 695.61 liter air ketum yang membabitkan nilai rampasan berjumlah RM4.64 juta.

“Turut disita dalam Op Tapis Khas itu adalah wang tunai, barang kemas dan kenderaan yang kesemua barang itu bernilai RM325,064,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, sumber berkata, tangkapan menarik menerusi operasi itu adalah membabitkan tujuh lelaki tempatan dengan rampasan 840.7 kilogram ganja dianggarkan bernilai 2.1 juta di Pulau Pinang dan di Perak.

“Manakala dalam operasi di negeri Sarawak seorang lelaki Iban telah ditangkap bersama rampasan sejumlah 39.8 kilogram serbuk ekstasi dianggarkan bernilai RM1.9 juta.

“Selain itu, pasukan JSJN juga berjaya merampas sebanyak empat laras senapang, sepucuk pistol, 57 butir peluru hidup dan sebilah pedang samurai di sepanjang Op Tapis Khas ini,” katanya.

Tambah sumber, objektif operasi khas itu adalah untuk mengesan dan menangkap tokan–tokan dadah di kawasan panas yang dikenalpasti, memusnahkan lokasi penagihan dadah, mengambil tindakan ke atas penagih tegar, mengesan dan menangkap individu dikehendaki atas kesalahan dadah serta mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang telah dikenalpasti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast