KUALA LUMPUR – Polis mencari pemandu yang membuli anak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lebuh raya.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa meminta pemandu Proton Iriz berwarna hijau dengan nombor plat kenderaan WB 7482 M untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Menurutnya, cara pemanduan kenderaan tersebut boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Tular satu video yang berdurasi 14 saat memaparkan sebuah kereta jenama Proton Iriz warna hijau nombor plat kenderaan WB 7482 M yang dipandu secara berbahaya dan cuba menghalang laluan sebuah kereta (perakam video).

“Tindakan sebegini boleh mendatangkan risiko kemalangan kepada pemandu yang lain.

“Polis menggesa pemandu kereta ini segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan memandangkan nombor plat kenderaan ini telah dikenalpasti,” katanya.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan Nurul Ilham mendakwa menjadi mangsa buli pengguna jalan raya.

Anak keempat Anwar bersama bekas Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendakwa, pemandu berkenaan telah menekan brek ketika berada di lorong laju.

Nurul Ilham yang ketika itu bersama dengan anaknya yang berusia dua tahun berkata, tindakan pemandu tersebut boleh mendatangkan bahaya kepada dirinya dan orang lain.

“Saya biasanya tidak menyiarkan perkara ini tetapi saya dibuli di jalan raya hari ini.Kereta ini terus menekan brek di lorong terpantas. Sangat berbahaya dan saya mempunyai anak saya yang berumur dua tahun bersama saya.

“Berada di sana selama satu minit sebelum dia (ya, dia) bertukar ke lorong seterusnya,” kata Nurul Ilham dalam ciapan di Twitter.

Beliau turut berkongsi klip video Proton Iriz di media sosial tersebut.

Menurut Nurul Ilham kejadian berkenaan bermula di sebuah plaza tol apabila pemandu berkenaan bertindak membunyikan hon ke arah kenderaannya.

“Mula-mula nampak kereta ini dekat pintu tol bila dia membunyikan hon ke arah saya untuk menuju ke lorong Touch N Go.

“Saya telah memberi isyarat untuk pergi ke kiri tetapi saya tidak nampak sebarang isyarat dia pergi ke kanan (ke arah lorong Smart Tag). Rasanya dia marah tentang itu,” kata Nurul Ilham.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak PM dakwa jadi mangsa buli pengguna jalan raya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast