Artikel ini ditulis oleh pembaca Malaysia Gazette
DASAR Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir mulai tahun 2003 iaitu setelah kira-kira 30 tahun Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia mulai tahun 1971 dengan pemansuhan aliran Inggeris di sekolah dan universiti.
Peperiksaan LCE, MCE dan HSC digantikan dengan SRP, SPM dan STP, kini STPM. Usaha itu bertujuan memartabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi dipelopori oleh pimpinan terdahulu khasnya almarhum Tun Abdul Rahman Yaacob. Kemuncaknya UKM ditubuh pada tahun 1971.
Bahasa Melayu akhirnya lengkap sebagai bahasa pengantar ilmu sehingga di peringkat universiti termasuk bagi bidang sains dan teknologi selama 20 tahun sejak tahun 1983. Kira-kira sejuta istilah pelbagai bidang diusahakan oleh DBP dan universiti. Sejumlah 5.5 juta pelajar dihasilkan melalui bahasa Melayu sehingga tahun 2002. Manakala ratusan ribu pula lulusan sarjana dan kedoktoran terhasil daripada DPK yang menyumbang kepakaran mereka bagi pembangunan negara di samping berkhidmat sebagai perunding atau konsultan di peringkat antarabangsa.
Malangnya apabila PPSMI diperkenal, semua cerita kejayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu khasnya dalam bidang sains dan teknologi hancur sekelip mata. Penerbitan buku ilmiah berbahasa Melayu merudum daripada kira-kira 200 buah setahun hingga kurang daripada 10 buah, akibat tiada keperluan mendesak sebab semuanya mulai diajar dan dipelajari dalam bahasa Inggeris. Kononnya untuk memandaikan rakyat akan bahasa Inggeris akibat kelemahan menguasai bahasa tersebut. Tangan yang luka tetapi kaki yang dibalut.
Penulis sendiri dan rakan-rakan mengikuti kursus bahasa Jepun untuk pandai bahasa Jepun dan tidak pernah belajar sains dan matematik dalam bahasa Jepun. Sia-sialah usaha DBP dan para pemimpin dahulu yang mahu negara ini membangun dengan jati diri dan bahasa sendiri seperti kebanyakan negara maju dan semua tamadun besar di dunia selama ini.
Akhirnya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan merangkap Timbalan Perdana ketika itu mengambil langkah berani dan tepat, memansuhkan PPSMI pada tahun 2009, malangnya secara “soft-landing“. Akibatnya pihak yang masih “taksub” dengan PPSMI melalui KPM mengemukakan Program Dwibahasa yang lebih dikenali sebagai “Dual-Language Programme”(DLP).
DLP sejak mula diperkenal pada 2016 dengan penuh “tipu helah atau muslihat”, bermula dengan soal-selidik yang berat sebelah dan pelaksanaan yang kononnya sukarela (rujuk buku *Kami Bantah DLP*, GAPENA & PPM, 2016, 132 halaman). DLP mendakwa sebagai program dan bukan dasar, oleh itu tidak memerlukan kelulusan kabinet, sedangkan jelas kedua-duanya tetap melibatkan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Jika PPSMI ialah musang, DLP ialah musang yang berbulu ayam atau jaket baru bagi PPSMI.
Pelbagai bantahan, memorandum dan pertemuan dengan pimpinan kerajaan terdahulu termasuk Perdana Menteri dan Menteri Pendidikannya telah dibuat namun semuanya membisu dan tiada keberanian untuk memansuhkan DLP. Tegasnya, tidak berani menjunjung, memartabatkan bahasa Melayu dalam erti yang sebenarnya, hanya sekadar retorik atau “lip service”.
Menurut maklumat terkini, semua subjek sains seperti biologi, kimia, fizik dan matematik di IPGM masih diajarkan dalam bahasa Inggeris sahaja. Kita tahu bahawa IPGM menyediakan bakal pendidik yang akan mengajar dalam sistem pendidikan di Malaysia. Justeru dengan status quo tersebut membayangkan DLP akan diteruskan lagi yang dulunya bermula dengan kira-kira 300 buah sekolah dan kini berjumlah kira-kira 1000 buah.
Jelaslah bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu khususnya dalam bidang sains dan teknologi akan terus terancam, musnah di negaranya sendiri akibat tangan-tangan yang bersikap tidak acuh dan kemabukan bahasa Inggeris yang berlebihan sedangkan banyak cara yang sesuai dengan ilmu pedagogi untuk menguasai bahasa Inggeris tidak digunakan. Dipilih juga cara yang kononnya mudah dan terbaik walaupun sebenarnya memusnahkan bahasa negara sendiri.
Kerajaan terdahulu difahamkan banyak melakukan kesilapan dalam tadbir urus kewangan dan belanjawan yang perlu dibetulkan. Kesilapan besar juga perlu dilihat dalam dasar pendidikan iaitu mengulang kembali dasar PPSMI secara muslihat melalui pertukaran nama kepada program DLP. Dengan yang demikian adalah dengan penuh harapan dan tanggungjawab, demi masa depan negara dan generasi anak bangsa Malaysia, dipohon akan kebijaksanaan, ketegasan dan keberanian Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri ke-10 yang sejak era 70-an dikenali sebagai satu-satunya pemimpin politik yang istiqamah, jujur menjunjung bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara untuk membetulkan kesilapan besar dasar pendidikan kerajaan terdahulu dengan memansuhkan segera program(?) Dasar DLP sebelum bahasa Melayu ditalkinkan buat kali terakhir dan musang-musang baru kembali berjanggut.
Kamal Shukri Abdullah Sani
Pengerusi Biro
Perpaduan Ummah dan Komuniti,
Majlis Perundingan Melayu M’sia (MPM)
Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette