Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya terdapat tali barut dalam kalangan pegawai dan anggota agensi penguatkuasa dalam membantu kegiatan penjenayah.

Pengarah Kanan Siasatannya, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, menerusi bidang penguatkuasaan, tumpuan SPRM terarah kepada pembongkaran kes-kes bersendiket atau jenayah terancang yang memberi kesan kepada aspek sosio-ekonomi masyarakat.

Jelasnya, ia membabitkan penyeludupan, perjudian, pemerdagangan manusia, pekerja asing tanpa izin, perlesenan, percukaian dan Macau Scam.

“SPRM percaya, terdapatnya tali barut di kalangan pegawai dan anggota agensi penguatkuasa dalam membantu kegiatan penjenayah-penjenayah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bidang penguatkuasaan merupakan salah satu dari tiga bidang utama di bawah strategi ‘Pemerkasaan Penguatkusaan Berkesan’ yang diberi penekanan agensi itu dalam melangkah ke tahun 2023.

Dua lagi bidang yang diberi timpuan ialah bidang perolehan kerajaan dan bidang dana awam atau peruntukan khas kerajaan.

Menurut Hishamuddin, dalam bidang perolehan kerajaan, tumpuan siasatan adalah untuk membanteras amalan rasuah dalam sistem perolehan kerajaan, mengelakkan daripada ketirisan dan memastikan projek-projek atau perkhidmatan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa.

Katanya, tumpuan turut diberikan kepada kegiatan monopoli projek (kartel projek), projek-projek terbengkalai dan projek-projek sakit yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan dan melibatkan kes grand corruption seperti individu berprofil tinggi, kes berkepentingan awam dan kes sensitif.

Tambah beliau, bagi bidang dana awam atau peruntukan khas kerajaan, tumpuan SPRM adalah terhadap isu-isu ketirisan dan ketelusan pengurusan dana kerajaan yang hendak disalurkan kepada golongan sasar.

“Saban tahun, SPRM menerima rungutan dari pelbagai lapisan masyarakat tentang ketidakcekapan pengagihan dana-dana awam, ketirisan, penyelewengan dan tidak mencapai objektif pelaksanaannya.

“Dana-dana ini adalah seperti Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Skim Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Skim Bantuan Kepada Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS),” ujarnya. – MalaysiaGazette