Mohd Zai Mustafa
Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) membantah sekeras-kerasnya keputusan Menteri Kerajaan Perumahan dan Tempatan, Nga Kor Ming membawa pakar luar bagi membantu menyelesaikan isu berkaitan perumahan di negara ini.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, tindakan itu akan mendedahkan segala maklumat penting kerajaan berkaitan strategi dan hala tuju pembangunan perumahan di negara ini.

“Ummah menyeru Perdana Menteri agar segera campur tangan dan mengkaji semula tindakan dan keputusan Menteri ini yang membuat keputusan membawa pakar dari Singapura ke dalam KPKT.

“Ini soal kedaulatan dan keselamatan negara yang perlu diambil kira dalam sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, Kor Ming ketika diwawancara Astro Awani memberitahu bahawa Kerajaan Singapura bersetuju untuk meminjamkan pakar mereka bagi berkongsi pengalaman dengan KPKT.

Jelasnya, langkah menerima bantuan pakar daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura itu bertujuan untuk berkongsi pengalaman dalam pembangunan perumahan di negara republik itu dengan KPKT.

Dalam pada itu, Zai berkata, Singapura telah berjaya meminggirkan pemilikan rumah kepada orang Melayu di Singapura dengan menyediakan rumah pada harga tinggi, di luar kemampuan.

“Ramai orang Melayu di Singapura terpaksa membeli rumah di Johor kerana tidak mampu. Apakah ini yang akan dibawa dan dilaksanakan di Malaysia?

“Pemilikan rumah di kawasan bandar besar di negara ini juga gagal dimiliki oleh orang Melayu dan Bumiputera kerana harga mahal.

“Walaupun diwujudkan kuota sebanyak 30 peratus, namun tetap gagal dijual,” katanya.

Sebaliknya, KPKT sewajarnya menumpukan usaha dan strategi perumahan negara ke arah harga rumah sederhana dan mampu milik berdasarkan kepada pendapatan golongan B40 dan M40, termasuk muda dan belia.

“Isu projek terbengkalai atau sakit harus diuruskan secara profesional berdasarkan merit pihak yang terlibat.

“Perunding yang bertauliah dan profesional serta pemaju yang mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh (diutamakan), bukan berdasarkan kepada kroni,” katanya. – MalaysiaGazette