Isham dipecat Hamzah rasuah pengundi UMNO DAP
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Tafsiran Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam terus dikritik.

Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil menegaskan, wang yang diberi kepada pengundi untuk membeli undi bukan sedekah tetapi merupakan suapan, sogokan atau rasuah.

Katanya, sedekah tidak ada timbal balas jika diberikan secara ikhlas kepada orang yang memerlukan.

“Jika sesuatu transaksi itu ada timbal balasnya, ianya bukanlah sedekah, tetapi lebih kepada perniagaan, suapan, sogokan atau rasuah atau lain-lain transaksi selain sedekah.

“Memberi duit kepada pengundi semasa pilihanraya dan menyuruh mereka bersumpah untuk mengundi Pas itu bukan sedekah, itu sogokan atau rasuah,” tegas beliau.

Isham berkata, dengan alasan yang dikemukaan Abdul Hadi bermakna sesiapa termasuk pihak yang mempunyai kepentingan seperti kontraktor boleh beri ‘sedekah’ ketika pilihan raya.

“Oleh itu, jika kontraktor projek tebatan banjir yang dapat kontrak secara rundingan terus RM15 billion ingin beri duit kepada ahli-ahli politik PN atau PAS dalam kerajaan yang telah luluskan kontrak ini pun bolehlah dikategorikan sebagai “sedekah”.

“Dan duit ini untuk mereka guna untuk “sedekah” kepada pengundi dalam pilihanraya.

“Dan sebahagian duit dari dana kerajaan sebanyak RM92.5 billion yang diberikan komisyen oleh kontraktor kepada broker kepada menteri atau ahli politik kerajaan PN yang sedang disiasat SPRM itu pun bolehlah dikira “sedekah”, jika “dalil” Hadi ini digunapakai,” kata Isham.

Tambah Isham, Abdul Hadi mungkin tidak membaca atau tidak tahu kewujudan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Seksyen tersebut menyatakan bukan sahaja calon atau wakil calon sahaja tidak boleh merasuah pengundi tetapi sesiapa sahaja orang atau bagi pihaknya tidak boleh beri duit untuk menyogok pengundi.

“Kepada Haji Hadi,  janganlah cari dalil untuk halalkan rasuah pengundi.

“Jika rasuah pengundi ini halal, ke manakah sistem politik dan demokrasi negara ini ingin dituju apabila parti dan ahli politik boleh sewenangnya merasuah pengundi atas nama sedekah untuk menang pilihanraya sebelum pilihanraya atau semasa dalam kerajaan.

“Untuk beri “sedekah” ini, mereka ambil rasuah dari projek kerajaan untuk guna duit itu bagi tujuan merasuah dan “sedekah” pengundi untuk menang pilihanraya untuk membentuk kerajaan dan mendapat jawatan kerajaan. Ini adalah kitaran rasuah dan politik wang yang busuk dan teruk,” kata Isham.

Tambah beliau, negara memerlukan reformasi berkaitan pendanaan politik.

Jika tidak katanya, hanya orang kaya atau perasuah sahaja yang boleh berjaya dalam politik dan menentukan dasar-dasar untuk rakyat dan negara.

Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri wang tetapi orang awam mahu beri sedekah maka terpulang kepada dia.

Beliau mengulas mengulas tindakan UMNO Terengganu yang memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).-MalaysiaGazette