KUANTAN – Mayat seorang penagih dadah yang dipercayai lemas selepas melarikan diri daripada polis ditemui Sungai Belat di Jeti Tanjung Punai, Batu 3 pada jam 11.36 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat wanita berusia 42 tahun itu ditemui oleh Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) 50 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
“Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu dua ekor anjing pengesan K9 bomba, Pop dan Blade.
“Pencarian bertumpu kepada rondaan menggunakan bot di sepanjang Sungai Belat dan selaman Unit Skuba Bomba di sekitar lokasi mangsa dilaporkan lemas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat tersebut kemudian dibawa ke darat dan disahkan sebagai mangsa yang hilang berdasarkan pengecaman ahli keluarga.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan jam 11.50 pagi susulan penemuan mayat mangsa itu pada hari kedua operasi dijalankan.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Belat ketika cuba lari daripada serbuan polis pada hari Jumaat.
Wan Zahari berkata, serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dalam Ops Tapis di lokasi berkenaan yang sering dijadikan sarang penagih dadah.
Difahamkan mangsa sering ke lokasi itu dan ketika kejadian ada saksi ternampak wanita itu jatuh ke dalam sungai.
Anak mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa pada jam 12.30 semalam. – MalaysiaGazette