P. Ramasamy

GEORGE TOWN –  Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy menyifatkan Parti Gerakan sedang berhalusinasi kerana mahu melakukan kemunculan semula di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, Gerakan merupakan sebuah parti yang tidak mempunyai masa depan untuk mewakili pengundi bukan Melayu pada PRN.

“Prestasi parti Gerakan merudum selepas kalah dengan DAP pada 2008 sebelum mereka mengambil keputusan untuk keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

“Bagaimanapun, selepas menyertai Perikatan Nasional (PN), Gerakan berpendapat parti itu boleh bangkit semula namun mereka gagal untuk memenangi sebarang kerusi dan ia terbukti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

“Jadi bagaimana mereka (Gerakan) yakin boleh menang atau mewakili suara orang bukan Melayu dalam parti mereka? Adakah mereka  sedang berhalusinasi?” soal Ramasamy dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, orang bukan Melayu telah terasing sepenuhnya daripada PN terutamanya membabitkan parti Pas dan ia menjadi cabaran buat Gerakan untuk memastikan perubahan kepada rakyat di negeri ini.

“Gerakan sendiri menjadi punca utama kejatuhan politiknya di Pulau Pinang apabila mereka gagal menyediakan pentadbiran yang berkesan kepada rakyat di negeri ini ketika zaman pemerintahan bersama BN.

“Kini, tidak mustahil Gerakan akan hilang dalam arena politik susulan berada dalam gabungan Bersatu serta Pas,” jelasnya. – MalaysiaGazette