Datuk Ronald Gan

MELAKA – Persatuan Peranakan Baba Nyonya menggesa kerajaan hari ini mengiktiraf etnik minoriti itu dengan cara mengembalikan nama kaum itu pada borang rasmi khususnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Presidennya, Datuk Ronald Gan berkata, kali terakhir kewujudan kaum itu diperakui pada sijil kelahiran adalah sekitar 70 tahun lalu iaitu ketika era 1940-an dengan catatan sebagai Baba ataupun straits-born Chinese.

Namun identiti itu ‘dihilangkan’ dari ruangan terbabit tidak seperti kategori Melayu Minangkabau, Cina Hokkien, Cina Hailam, India Malayalam dan sebagainya.

“Sehingga kini kami tidak mempunyai kategori etnik yang jelas, sebaliknya terpaksa ditandakan pada petak ‘lain-lain’ dalam semua jenis pendaftaran maklumat peribadi.

“Di mana kedudukan Baba? Adakah di petak ‘lain-lain’? Sedangkan setiap kali Sukan SEA, Sukan Komanwel, kerajaan panggil kami naik beca, nyanyi Dondang Sayang.

“Apakah nasib kami ini sekadar dibangga-banggakan sebagai produk pelancongan. Jadi kami amat berharap kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dapat mengembalikan status Baba Nonya seperti 70 tahun lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, pemintaan itu bukanlah bermaksud etnik peranakan yang dianggarkan seramai 9,000 orang di seluruh negara itu juga mahu hak-hak istimewa lain.

“Kita tak minta hak-hak istimewa lain tapi cukuplah sebagai pengiktirafan pada borang rasmi yang mana ia sekali gus dapat membantu Jabatan Perangkaan memperoleh jumlah tepat kaum Baba Nyonya di seluruh negara.

“Setakat ini, terdapat enam persatuan besar etnik Peranakan dengan keahlian 9,000 orang di seluruh negara merangkumi Melaka, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast