Kira-kira 3,000 menghadiri majlis rumah terbuka Sambutan Tahun Baharu Cina Ketua Menteri Pulau Pinang di Spice Arena, Bayan Lepas hari ini.

BAYAN LEPAS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ketua Menteri Pulau Pinang di Spice Arena di sini hari ini.

Ini merupakan kehadiran pertama beliau ke Pulau Pinang selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.

Terdahulu, Anwar yang ditemani isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba pada pukul 2.30 petang.

Turut hadir, Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan barisan pemimpin negeri lain.

Majlis yang dihadiri lebih 3,000 individu itu dimulakan dengan menggaul Yee Sang oleh Anwar bersama tetamu kehormat lain sebagai simbolik sambutan perayaan tersebut.

Sementara itu, dalam ucapan, Anwar mengambil peluang untuk menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina itu bagi meraikan penduduk Pulau Pinang memandangkan belum pernah membuat kunjungan rasmi ke negeri ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Saya belum buat kunjung rasmi ke Pulau Pinang yang mana tempat bangkit, kelahiran saya jadi hari ini saya hadir untuk raikan bersama seluruh warga Pulau Pinang.

“Seperti ucapan di Kuala Lumpur, saya juga menggesa kerajaan-kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar pembangunan yang lebih dekat dan memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat yang berada di dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40).

“Semua pihak juga perlu mengamalkan semangat perpaduan yang tinggi selain menolak fahaman perkauman sempit yang menggugat keharmonian kaum dan agama di negara ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast