Kereta milik suspek yang dirampas polis semasa serbua Ahad di Taman Lembah Maju Ampang. - Gambar ihsan IPD Ampang Jaya.

AMPANG – Gara-gara dimarahi kerana mabuk, sepasang kekasih ditahan kerana disyaki merosakkan sebuah kereta di Taman Lembah Maju di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan itu ditahan Jumaat lalu.

“Dalam kejadian pada 20 Januari lalu, pengadu telah meletakkan keretanya jenis Mercedes Benz-A200 berwarna hitam di hadapan rumah dalam keadaan baik.

“Bagaimanapun, pada keesokan harinya iaitu pada 21 Januari lalu  semasa pengadu mahu menggunakan semula keretanya, dia terkejut apabila mendapati keempat-empat tayar telah dibocorkan manakala kedua-dua lampu bahagian belakang telah dipecahkan dan keseluruhan keretanya mempunyai kesan calar agak teruk,”‘ katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, bertindak atas maklumat dan aduan mangsa, semalam polis telah menahan pasangan kekasih di Taman Lembah Maju kerana disyaki terlibat.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya merampas kenderaan jenis Nissan Almera yang disyaki digunakan oleh pasangan suspek semasa terlibat dalam jenayah itu.

“Dalam serbuan sama, polis turut merampas objek yang digunakan oleh suspek untuk melakukan perbuatan khianat iaitu pemutar skru dan kunci kereta.

“Kedua-dua suspek yang berusia 45 tahun itu turut dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum keputusan mengesahkan pasangan itu positif dadah jenis Benzo.

“Siasatan lanjut polis mendapati, suspek lelaki yang berkerja sebagai mekanik kereta di Cheras mempunyai tiga rekod lampau jenayah manakala suspek wanita yang tidak berkerja mempunyai satu rekod lampau jenayah,” katanya.

Semasa kejadian, suspek dan kekasihnya pergi ke rumah pengadu untuk berjumpa kakak kandungnya sebelum dimarahi pengadu kerana mabuk dan membuat bising.

“Tujuan suspek pergi ke rumah mangsa adalah untuk berjumpa dengan kakaknya dan mangsa merupakan abang ipar kepada kakak suspek.

“Kini pasangan itu yang merupakan suspek utama dalam kes ini sedang telah direman selama empat hari 26 Januari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya.

Kes ini sedang disiasat polis di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi melengkapkan siasatan iaitu kesalahan melakukan perbuatan khianat yang memperuntukkan humukuman penjara maksimum lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette