Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Sayap Pemuda Pas menggesa kerajaan memanggil Duta Sweden ke Malaysia bagi memberikan penjelasan berhubung tindakan negara itu terhadap ahli politik Sweden-Denmark yang ekstrem, Rasmus Paludan. 

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, langkah itu perlu kerana tindakan Paludan sesuatu yang jelas tidak bertamadun.

“Pemuda Pas menggesa agar kerajaan Sweden mengenakan tindakan tegas terhadap beliau (Paludan) sesuai dengan kesalahan jahat yang telah beliau lakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas merujuk kepada tindakan ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang bertindak membakar senaskah al-Quran di Stockholm, Sweden pada 21 Januari lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata, tindakan sebegitu adalah politik lapuk yang menzahirkan kemunafikan politik yang diamalkan Barat yang selama ini kononnya mengamalkan nilai-nilai murni dalam berpolitik.

“Pemuda Pas mempersoalkan tindakan tidak bertamadun Rasmus Paludan, apakah dengan berbuat sedemikian, ketidakpuasan hati beliau dan pengikutnya akan dapat diselesaikan? Sudah tentu tidak.

“Kami menyeru dan menggesa umat Islam di seluruh dunia, gerakan Islam yang ada serta pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengecam tindakan Islamofobik ini sebagai tanda solidariti dan kesatuan umat Islam mempertahankan maruah umat Islam di samping mewujudkan tekanan kepada kerajaan Sweden agar mengambil tindakan terhadap ahli politik ekstrim ini,” katanya lagi.

Awal hari ini, Wisma Putra mempersoalkan tindakan kerajaan Sweden yang bertindak mendiamkan diri mengenai tindakan Paludan.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Zamby Abdul Kadir, Malaysia tidak boleh menerima tindakan Sweden untuk tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan aktiviti yang melampau ini sehingga boleh memberi kesan yang serius terhadap hubungan antara Sweden dan umat Islam di seluruh dunia. – MalaysiaGazette