SEREMBAN – Susulan berakhirnya cuti Tahun Baharu Cina, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari selatan ke ibu negara mula sesak ekoran kepulangan warga kota.
Tinjauan MalaysiaGazette di Bandar Ainsdale mendapati, aliran trafik bergerak perlahan sehingga mengambil masa lebih 45 minit ke Seremban.
Hujan lebat sepanjang hari bermula seawal jam 8 pagi turut menyebabkan aliran trafik bergerak lebih perlahan.
Ia juga menjejaskan pergerakan lalu lintas terutama pada sebelah petang selepas terdapat pertambahan jumlah kenderaan di lebuhraya berkenaan.
Dalam masa sama, hentian rehat dan rawat (RnR) menghala ke Kuala Lumpur seperti di RnR Seremban dan Hentian Sebelah Nilai turut sesak.
Antara yang dapat dirakam lensa MalaysiaGazette adalah pengguna terpaksa beratur untuk menggunakan tandas dan surau selain ruang parkir yang terhad.
Sebelum ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan kepada pengguna lebuh raya untuk merancang jadual waktu bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar.
PLUS juga mengesyorkan penggunaan Aplikasi Waze atau Google Maps semasa pemanduan untuk mendapatkan status trafik terkini sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina. – Malaysiagazette