MELAKA – Enam individu termasuk dua warga emas cedera dalam nahas melibatkan sebuah bas persiaran dan tiga buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Razak Lebuh Ayer Keroh petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.08 petang itu, mereka yang cedera ialah dua wanita penumpang bas, pemandu dan penumpang sebuah kereta Perodua Myvi, serta pemandu dan penumpang Nissan Almera.
Seorang anggota bomba Singapura berusia 56 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian dalam nahas melibatkan lapan individu itu berhampiran sebuah kilang besi pada pukul 3.10 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika bas persiaran Panorama dipandu lelaki berusia 50 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Pusat Bandar menghala ke Ayer Keroh tiba-tiba merempuh belakang sebuah Perodua Myvi di hadapannya.
“Rempuhan kuat menyebabkan Myvi terbabit terlanggar dua lagi kenderan di hadapannya iaitu Nissan Almera dan Hyundai Starex
menyebabkan enam mangsa cedera daripada keseluruhan lapan individu terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut dengan dua daripadanya ditempatkan di zon kuning.
“Pemandu bas Panorama berusia 50 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette.