Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berharap kerja menaik taraf prasarana serta keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah melalui peruntukan RM1 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dapat disegerakan.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan hubungan Malaysia dan Indonesia dapat dipertingkat dari segi kemasyarakatan selain memudahkan lagi urusan kemasukan buruh dari negara jiran itu bagi sektor perladangan khususnya di Sabah.

“Pewujudan atau penaiktarafan CIQS perlu dilihat secara serius,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru, Datuk Junz Wong di sini hari ini.

Jumaat lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching.

Mengulas status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah, Mohd Shafie berkata, pewartaan perlu dilakukan kerana ia adalah identiti yang akan membezakan kedua-duanya dengan negeri di Semenanjung.

Katanya, ini penting kerana Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa tertentu yang amat berbeza dengan negeri lain seperti bidang kuasa Imigresen dan hak tertentu dalam MA63.

Beliau berkata, selain itu, Perlembagaan Persekutuan memperuntuk beberapa perkara khusus kepada Sabah dan Sarawak antaranya pemberian peruntukan khas yang termaktub dalam Perkara 112D.

“Perkara seperti itu tidak termaktub kepada negeri lain dari Perlis hingga ke Johor. Jadi kita memerlukan asas dari segi perundangan… Perlembagaan itu jangan dipertikai,” katanya.

Pada 13 Januari lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO dalam ucapan dasar beliau pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 berkata, kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya wilayah. – Bernama