KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin Pas menuding jari dan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap UMNO bagi menutup perbuatan merasuah pengundi yang didakwa berlaku semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, kini mereka menyatakan bahawa UMNO tidak mempunyai keabsahan moral bagi mempersoalkan sama ada Pas terlibat dalam rasuah.
Beliau mengingatkan, semasa zaman Rasulullah SAW, ada golongan munafik yang di luar nampak alim dan selalu menggunakan agama dan menunggang ayat-ayat al-Quran tetapi di belakang melakukan perkara batil.
“Mungkin sejak kamu berkawan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini tabiat kamu semakin teruk dan kamu sudah selesa dan memilih jalan yang sesat.
“Kamu tidak lagi guna tin milo tetapi sudah pandai duduk hotel lima bintang semasa kempen pilihan raya sehingga sudah tidak boleh membezakan antara sedekah dan rasuah. Usah gelap mata dengan duit,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Semalan, Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin menegaskan, UMNO tidak mempunyai keabsahan moral untuk bercakap mengenai rasuah.
Selain itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari kelmarin meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melihat ke dalam cermin sebelum mengutuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu, atas alasan parti lawan merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen itu sepanjang tempoh kempen PRU-15.
Isham menambah, matlamat tidak menghalalkan cara dan bersusah-payah atas landasan perjuangan yang betul dan ikhlas adalah lebih baik daripada bersenang atas landasan perjuangan yang salah.
“Keberkatan dalam perjuangan dan bagaimana kita menang itu penting, bukan sahaja matlamat kemenangan itu sahaja.
“Biar kita kalah bermaruah daripada menang dengan rasuah,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan pemimpin-pemimpin Pas agar bermuhasabah dan bertaubat sebelum terlambat serta menyeru mereka kembali ke jalan yang lurus. – MalaysiaGazette