KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO didakwa ‘sujud’ kepada DAP dalam isu Nga Kor Ming mahu membawa masuk pakar daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura.
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan pemimpin UMNO hanya bersikap berdiam diri dengan mendakwa kemasukan pakar HDB Singapura boleh mengancam pemilikan hartanah bumiputera.
“Pakatan Harapan sedang memasang lukah di pergentingan. Rakan-rakan dalam Bersatu sudah sedar dan sudah bangkit. Saya rayu rakyat menyokong usaha kami dalam Bersatu berkaitan isu ini.
“Rakyat mesti sedar bahawa UMNO terus diam dan bersujud kepada DAP walaupun dalam isu besar yang membabitkan pemilikan hartanah bumiputera seperti ini.
“UMNO sudah rosak dan mandul setelah bersekedudukan dengan DAP. Sekarang masa untuk rakyat bersama Bersatu dan Perikatan Nasional,” kata Wan Saiful dalam kenyataannya.
Beliau mendakwa, penyusunan semula demografi kaum di Pulau Pinang sama seperti yang berlaku di Singapura.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendakwa pemilikan tanah orang Melayu di negeri itu semakin mengecil di bawah pentadbiran DAP.
“Hari ini milikan tanah Melayu di Timur Laut Pulau Pinang cuma 1.16 peratus, suatu jumlah yang teramat kecil. Daerah Barat Daya Pulau Pinang pula hanya tinggal 15 peratus milikan orang Melayu dan peratusan ini sedang mengecil saban tahun.
“Mengikut kajian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pulau Pinang pada 2010 sebanyak 55 peratus daripada hartanah di Pulau Pinang dimiliki orang Cina. Orang Melayu hanya memiliki 27 peratus,” kata Wan Saiful.
Peringkat persekutuan pemilikan hartanah bumiputera juga kecil, katanya.
Transaksi rumah kediaman, premis industri dan kompleks komersial yang direkodkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara menunjukkan hanya 36.3 peratus dimiliki Bumiputera.
“Apa akan jadi kepada nasib bumiputera jika acuan HDB Singapura seperti dilakukan oleh DAP yang disokong UMNO Pulau Pinang hari ini diimplimentasikan pula di peringkat Persekutuan di bawah PH-BN?” soal beliau.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming mahu membawa masuk pakar daripada HDB Singapura.
Kor Ming, mengumumkan kerajaan Singapura bersetuju menghantar beberapa pakar HDB bulan depan untuk berkongsi kepakaran dengan Malaysia dalam usaha memantapkan lagi sektor pembinaan perumahan awam negara.
Langkah itu, jelas Kor Ming adalah antara komitmennya untuk memberi tumpuan khusus kepada sektor perumahan, selain menyatakan kesediaan untuk mempelajari daripada negara lain.
Ia termasuk dari Jepun dan China sebagai langkah mereformasi sektor perumahan negara.
Bagaimanapun rancangan itu ditentang oleh parti lawan terutama Bersatu yang mendakwa tindakan pemimpin DAP itu mempunyai helah tersembunyi. – MalaysiaGazette
Ni tanda2 nk prn makin dekat. Masing2 sibuk nk tonjol perjuangan bangsa masing2. Abis prn sejuk balik.. semua perjuangan ke laut.