Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki mengenakan seragam MBPP mengutip angpow di kawasan perumahan sekitar Batu Lanchang, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengesahkan lelaki yang tular meminta ‘angpow’ daripada penduduk Batu Lanchang di sini, bukan pekerja bandaraya tersebut.

MBPP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung insiden itu dan mendapati lelaki yang mengenakan pakaian seragam MBPP itu hanya menyamar sebagai kakitangan pembersihan bagi mendapatkan imbuhan sempena Tahun Baharu Cina.

“Susulan siasatan itu, pihak MBPP telah membuat satu laporan polis memandangkan lelaki itu dengan niat jahat telah menyamar sebagai petugas pembersihan.

“Kita memandang serius isu ini dan tidak berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyamar sebagai kakitangan MBPP dalam apa jua keadaan,” katanya hari ini.

Terdahulu tular satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki mengenakan pakaian seragam pembersihan MBPP berwarna kuning meminta ‘angpow’ daripada penduduk berbangsa Cina.

Tambah MBPP,  pemberian ‘angpow’ kepada petugas pembersihan adalah tidak dibenarkan dan ia termaktub dalam polisi MBPP.

“Adalah menjadi tanggungjawab MBPP memastikan seluruh kawasan yang ditadbir di Pulau Pinang sentiasa bersih dan segar.

“Jadi kita harap kerjasama daripada orang ramai amat agar tidak memberi sebarang bentuk sumbangan terhadap mana-mana pihak,” katanya. – MalaysiaGazette