Seorang lelaki ditemui mati malam tadi di Jalan Penjaja,Batu Pahat.

BATU PAHAT – Seorang lelaki dalam lingkungan 50-an ditemui mati terbaring di parkir kereta Jalan Penjaja di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dillah berkata,  lelaki itu  disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Nora Ismail di lokasi kejadian.

“Punca kematian dan status si mati kita masih dalam siasatan.

“Bagaimanapun  susulan daripada itu, seorang warganegara asing berusia 43 tahun yang dilihat cuba melarikan diri dari tempat kejadian telah ditangkap oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di bangunan berhampiran.

“Suspek kemudiannya diserahkan kepada polis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail berkata,  pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran  dan rakaman video yang dibuat oleh saksi awam menunjukkan berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek sebelum mangsa ditemui mati.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk dijalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Suspek yang diberkas dibawa mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.-MalaysiaGazette