Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli membincangkan sesuatu dengan ketua setiausahanya, Datuk Nor Azmie Diron (kiri) dan Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin (kanan) pada sidang media mengenai Penerbitan Harga Indeks Harga Pengguna (IHP) di Menara Prisma, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 25 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kadar Dasar Semalaman (OPR) boleh dikekalkan pada paras mata 2.75 peratus jika kadar inflasi terus mereda, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau menjelaskan, apa yang utama, pengguna memainkan peranan penting untuk menentukan turun naik kadar inflasi di negara ini.

Menurut beliau, yang memacu kenaikan inflasi ketika ini adalah perbelanjaan pengguna di restoran sama ada makan atau bawa pulang selain di hotel.

“Saya tidak pasti kadar OPR signifikan kepada kadar inflasi jika ia dikekalkan namun jika kadar inflasi boleh reda pada bulan ini dan Februari, OPR boleh dikekalkan.” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada kenaikan OPR baru-baru ini akan memberi kesan kepada kadar inflasi.

Pada minggu lalu, Bank Negara Malaysia menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut.

Ia selepas kenaikan OPR empat kali berturut-turut sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November lalu dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Rafizi menambah, sekiranya kadar inflasi mencecah 3.2 peratus April ini, secara mikroekonomi, harga harga barang mentah dan lain di pasaran akan menunjukkan penurunan.

Namun pengguna masih membayar pada harga biasa, katanya.

“Bagi bulan ini, kalau kadar inflasi tidak turun kerana ada sambutan Tahun Baharu Cina, kita berharap kadarnya akan kekal dan mula turun pada bulan seterusnya,” katanya.

Pada minggu lalu, Jabatan Perangkaan mengumumkan inflasi di negara ini mereda kepada 3.8 peratus pada Disember 2022, berbanding 4.0 peratus bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol kepada 6.8 peratus berbanding bulan sebelumnya (7.3 peratus) menyumbang kepada inflasi lebih rendah negara.

“Namun restoran dan hotel terus menunjukkan peningkatan kepada 7.4 peratus berbanding 7.0 peratus pada November 2022,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, inflasi bagi keseluruhan 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus yang dicatatkan pada 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast