Terminal Sentral Kuantan

KUANTAN – Pengurusan Terminal Sentral Kuantan (TSK) menafikan pihaknya membiarkan kerosakan harta benda awam akibat vandalisme yang berlaku di stesen berkenaan.

Pengurusnya, Mohd Hafiz Mohd Talib berkata, pihaknya sentiasa membaiki kemudahan yang rosak termasuk mencuci tandas secara berkala.

Pihaknya kesal kesal atas perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pengguna sehinga berlaku banyak kerosakan dan kehilangan kemudahan untuk kegunaan semua.

Mohd Hafiz Mohd Talib

“Sebanyak 300 kerusi disediakan dan sehingga kini pihak TSK telah menggantikan 25 buah daripadanya yang patah dan rosak.

“Kebanyakan kerusi yang rosak disebabkan pengguna tidur di atas kerusi dan meletakkan beg lebih muatan atas kerusi.

“Perbuatan mencuri pewangi tandas, mesin pengering juga merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Hafiz berkata demikian mengulas komen tular di media sosial semalam yang mendakwa ramai pengguna mengatakan TSK tidak diselengara dengan baik.

Ia tandas kotor, alat penghawa dingin tidak berfungsi, paparan skrin jadual pelepasan bas rosak dan sebagainya.

Menurut Mohd Hafiz, pihaknya mengambil maklum setiap aduan dan bersedia untuk menambahbaik bagi keselesaan pengguna.

Bahkan pihaknya sentiasa menyelenggara kemudahan seperti eskalator dan lif bagi kemudahan pengunjung.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan kadar caj mencetak e-tiket dengan
berbincang dengan pengurusan tertinggi.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di TSK mendapati rata-rata pengunjung berpuas hati dengan perkhidmatan pengurusan TSK.

Hasil pemantauan mendapati kemudahan berfungsi dengan baik, sistem pengudaraan dalam ruang balai menunggu dalam keadaan dingin dan persekitaran tandas tidak berbau busuk seperti didakwa.

Terdapat 10 papan informasi memaparkan jadual pelepasan dan ketibaan bas yang dipasang dalam terminal itu termasuk di ruangan menunggu dan salah satu skrin pula menayangkan rancangan kartun kepada kanak-kanak.

Salah seorang pengunjung, Syamsirul Adha Che, 24, berkata, semua kemudahan yang disediakan TSK setakat ini memuaskan.

Syamsirul Adha

Bagaimanapun penuntut Universiti Malaysia Pahang itu berpendapat beberapa perkara yang perlu ditambahbaik.

“Saya tidak masalah dengan kemudahan lain, cuma dua perkara ini perlu diberi perhatian pengurusan TSK, Kalau boleh kadar caj bagi mencetak tiket diturunkan daripada RM1.70 kepada RM0.70 sen.

“Selain itu, penggunaan palang di pintu masuk tandas mendatangkan masalah kepada pengunjung apabila wang syiling tidak dapat dimasukkan ke dalam mesin,” katanya.

Bagi Sathia Mohan, 71, yang sebulan sekali berkunjung ke Kuantan menggunakan perkhidmatan bas di TSK berharap pengurusan patut kerap menyelenggara mesin tandas berpalang itu.

Sathia Mohan

“Saya cuma hendak komen pasal tandas, susah bagi orang tua untuk guna tandas berpalang ini. Kekadang sangkut hendak masuk.

“Jadi, kalau boleh pihak TSK buat sesuatu untuk memudahkan semua pengunjung menggunakan tandas awam di sini,” katanya. – MalaysiaGazette