Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya bergambar dengan pengamal media pada Majlis Penghargaan kepada Pengamal Media di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Statistik kadar jenayah Dang Wangi sepanjang tahun lepas mencatatkan penurunan sebanyak 282 kes berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, statistik jenayah 2021 merekodkan sebanyak 1,410 kes manakala bagi tahun lalu hanya 1,128 kes sekali gus mencatatkan penurunan sebanyak 282 kes.

“Bagi kes jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol, samun berkawan senjata api dan lain-lain mencapai penurunan 90 kes bagi tempoh terbabit,” katanya ketika taklimat pencapaian tahun 2022 pada Hari Bersama Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Penyumbang kes jenayah kekerasan adalah membabitkan kes samun berkawan tanpa senjata (103 kes) dan samun tanpa senjata api (100 kes) selain mencederakan (60 kes) untuk tahun 2022.

Tambah Noor Dellhan, jenayah harta benda juga merekodkan penurunan daripada sebanyak 1,034 kes pada tahun 2021 kepada 842 kes pada tahun 2022.

Menurutnya, kategori jenayah harta benda membabitkan kes jenayah curi motosikal, curi kereta serta pecah rumah.

“Penurunan ini dapat dicapai warga polis IPD Dang Wangi hasil daripada perancangan yang dirangkakan dengan beberapa kaedah secara operasional, taktikal dan staretgik dengan semanagat berpasukan.

“Kita juga ada melakukan penugasan rondaan berkala oleh kereta peronda polis (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) dan rondaan pencegahan jenayah dari balai.

“Selain itu, kita juga mempunyai pasukan yang bertindak bagi penugasan pencegahan jenayah berstruktur mengikut data yang diperolehi berdasarkan kes jenayah yang berlaku di daerah pentadbiran kami (Dang Wangi),” ujarnya.

Mengulas mengenai jumlah kertas siasatan, Noor Dellhan berkata, sepanjang tahun 2021, sebanyak 2,885 kertas siasatan telah dibuka dan 1,518 pertuduhan dibuat manakala bagi tahun 2021 pula sebanyak 2,846 kertas siasatan (2,045 pertuduhan) dilaksanakan.

“Untuk tahumn 2023 ini, kami menyasarkan sebanyak 74 peratus pertuduhan jenayah, pertuduhan narkotik (99 peratus) dan pertuduhan komersial (85 peratus),” katanya. – MalaysiaGazette