Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan semula empat ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) untuk tempoh tiga tahun dan pelantikan dua orang ahli MPS yang baharu untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

Pelantikan ini dibuat menurut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009.

MPS dibarisi sembilan orang ahli yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang Syariah, ekonomi Islam, undang-undang dan kewangan.

Ahli-ahli yang dilantik semula ialah Prof. Dr. Ashraf Md Hashim (Profesor, Universiti INCEIF dan Pengerusi baharu MPS); Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali (Profesor, Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Timbalan Pengerusi baharu MPS);
Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin (Pengarah Eksekutif, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, Universiti INCEIF) dan Burhanuddin Lukman
(Ahli Jawatankuasa Penasihat Haji, Lembaga Tabung Haji).

Ahli-ahli baharu yang dilantik Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh (mantan Hakim Mahkamah Persekutuan) dan Dr. Ahmad Basri Ibrahim (Ketua Pengurusan Syariah, Permodalan Nasional Berhad)

Ahli-ahli lain yang sedia ada ialah Sahibus Samahah Datuk Dr. Haji Anhar Haji Opir (Mufti Selangor); D. Marjan Muhammad (Pengarah, Jaminan Kualiti Penyelidikan dan Penerbitan, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, Universiti INCEIF) dan Zainal Abidin Jamal (Pengasas dan Rakan Kongsi Kanan, Zainal Abidin & Co. (Peguambela dan Peguamcara)

BNM berkata, MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia. MPS memainkan peranan penting untuk menggalakkan kepastian pada Syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam.

Ia juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu Syariah yang berkaitan dengan perniagaan kewangan Islam, aktiviti atau transaksi kewangan Islam yang dijalankan oleh BNM.

Menurutnya, keputusan Syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip Syariah.

Selain itu, keputusan MPS juga boleh digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara. MPS telah mengadakan mesyuarat pertama bagi tahun 2023 pada hari ini.

Dalam pada itu, BNM juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dan Datuk A. Aziz A. Rahim yang telah menyempurnakan tempoh perkhidmatan mereka sebagai ahli MPS.

Mohd Daud dilantik sebagai ahli MPS pada 1 Mei 1997 dan telah memegang jawatan sebagai Pengerusi MPS sejak 27 Disember 2006, sementara itu, A. Aziz telah menjadi ahli MPS sejak 1 November 2016.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, MPS memainkan peranan penting dalam memajukan aspirasi kewangan Islam di Malaysia.

”Sepanjang tempoh ini, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dan Dato’ A. Aziz A. Rahim telah memberikan sumbangan yang sangat besar dalam proses tersebut, dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih terhadap komitmen dan dedikasi mereka yang tidak berbelah bahagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette