Penguat kuasa JPJ sedang soal siasat wanita yang ditinggalkan tunangnya selepas melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang malam tadi.

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki sanggup meninggalkan tunangnya yang terjatuh dari motosikal ketika pasangan itu melarikan diri daripada sekatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang menghala Pulau di sini, malam tadi.

Kejadian jam 9.45 malam itu menyebabkan wanita berusia 20-an itu mengalami kecederaan ringan di tangan dan kaki.

Bagaimanapun, belum sempat pihak JPJ memberikan rawatan awal, wanita tersebut turut melarikan diri.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, pasangan yang menunggang motosikal  jenis Yamaha LC135 diarahkan berhenti bagi membolehkan pihaknya melakukan pemeriksaan menerusi Ops Motosikal Khas di lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang sempena Tahun Baharu Cina.

Adenan.

Bagaimanapun, jelas beliau, ketika penguat kuasa mengarahkan penunggang membuat lencongan untuk pemeriksaan lanjut, lelaki tersebut bertindak melarikan diri dengan membuat pusingan U.

“Tindakan mengejut lelaki itu membuatkan pembonceng wanita terjatuh daripada motosikal dinaiki mereka.

“Bagaimanapun, lelaki itu tidak peduli akan kejadian tersebut sebaliknya terus memecut laju motosikal menghala ke bahagian Pulau.

“Susulan insiden itu, kita sempat soal siasat pembonceng terbabit sebelum dia mengaku lelaki tersebut tunangnya dan mereka dalam perjalanan dari Seberang Perai ke pusat bandar,” katanya kepada pemberita di lokasi malam tadi.

Kesalahan tiada lesen memandu paling banyak dikesan.

Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan lelaki tersebut mungkin tiada lesen memandu atau tiada cukai jalan memandangkan dia tidak menghentikan motosikal meskipun tunangnya terjatuh.

Mengulas mengenai operasi tersebut, Adenan berkata, sebanyak 301 saman dikeluarkan selain 24 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan.

“Kita dapati majoriti penunggang yang dikenakan tindakan berkaitan kesalahan tiada lesen memandu dan tiada cukai jalan, selain pengubahsuaian motosikal.

“Malah setiap kali operasi, kesalahan tiada lesen memandu sangat tinggi dan bagi operasi kali ini boleh dikatakan hampir 100 kes.

24 buah motosikal turut disita dalam Ops Khas Motosikal itu.

“Ini secara langsung menunjukkan kesedaran penunggang motosikal tentang keperluan lesen memandu masih di tahap rendah,” kata Adenan. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan

Lelaki tinggalkan tunang elak ditahan JPJ

Seorang lelaki sanggup tinggalkan tunangnya di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang gara-gara elak ditahan JPJ dalam Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina malam ini.

Posted by Malaysia Gazette on Wednesday, January 25, 2023