Warga NAFAS melafazkan ikrar bebas rasuah.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengadakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam usaha meningkatkan integriti dan menzahirkan komitmen warga Peladang bebas gejala rasuah.

Lafaz ikrar tersebut disertai 257 warga kerja yang terdiri daripada barisan Ahli Jemaah Pengarah, Pengurusan serta staf NAFAS.

Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob berkata, IBR ini merupakan komitmen atas kapasiti individu dalam memperkasakan integriti, nilai insan yang tinggi dan unggul demi menjadikan NAFAS sebuah organisasi yang telus dan cemerlang.

“Sebagai agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, NAFAS memikul tanggungjawab dalam memperbaiki sosio-ekonomi para peladang dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan serta memajukan industri pertanian negara.

“Justeru, penekanan ikrar yang dibuat secara sukarela ini penting supaya setiap individu akan melaksanakan tugas dengan lebih bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Razim Mohd Noor dan Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob menandatangani Ikrar Bebas Rasuah.

Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat NAFAS di sini disaksikan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Razim Mohd Noor.

Hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang, Datuk Azulita Salim.

IBR merupakan satu inisiatif diperkenalkan SPRM yang memberi penekanan kepada ikrar dan janji dalam kapasiti individu oleh mereka yang diamanahkan tanggungjawab.

Ia supaya individu tidak terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang menjalankan tugas. – MalaysiaGazzete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast