Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bersama timbalannya, Datuk Rubiah Wang (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Exco Exco Luar Bandar di KKDW, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kenyataan mengenai pemberian wang ketika pilihan raya adalah rasuah dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan beliau adalah berdasarkan kepada kenyataan Azam Baki dan bukan beliau yang memutar belitkan kenyataan mana-mana pihak.

“Kenyataan dibuat Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki harus dijadikan satu panduan bahawa apa pun bentuk pemberian ketika kempen pilihanraya.

“Apa juga istilahnya itu adalah rasuah politik, walaupun namanya sedekah, ini bukan putar belit, ini kenyataan bertulis Azam Baki,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan antara Ahmad Zahid yang merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-exco Luar Bandar, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Ahmad Yahaya yang membidas pandangan sinis beliau terhadap kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung isu pemberian wang ketika pilihan raya.

Ahmad Yahaya turut menyifatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mempunyai niat untuk mengelirukan orang awam.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menyelar sikap ‘pilih bulu’ Abdul Hadi yang mempertahan tindakan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah sedekah. – MalaysiaGazette