Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berucap pada Majlis Amanat Tahun Baru 2023 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Seramai 242 Pegawai Pergigian dan 321 Pegawai Farmasi lantikan kontrak tahun 2016 dan 2017 layak memohon jawatan tetap di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, permohonan boleh dibuat melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Sistem SPA9) mulai 30 Januari sehingga 12 Februari 2023.

“Proses ini susulan urusan pengambilan jawatan tetap Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan tahun 2018 hingga 2020 yang telah dibuka menerusi Sistem SPA9 dari 6 Januari 2023 hingga 21 Januari 2023,” katanya menerusi kenyataan.

Zaliha menyarankan supaya pegawai lantikan kontrak yang ingin membuat permohonan melayari portal SPA untuk berdaftar atau mengemas kini maklumat permohonan dalam sistem SPA9.

“KKM berharap Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak tahun 2016 dan 2017 dapat membuat persediaan sewajarnya bagi urusan pengambilan ini,” tambah beliau.

Menteri Kesihatan itu sebelum ini berkata, sebanyak 4,914 kekosongan jawatan tetap dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan ditawarkan tahun ini.

Kekosongan jawatan itu terdiri daripada 4,263 jawatan untuk pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 untuk jawatan pegawai farmasi, katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Amanat Tahun Baharu 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast