Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Datuk Seri Abd Jalil Hassan bercakap pada sidang media mengenai kepulangan lima orang warganegara Malaysia yang ditahan di depoh Imigresen Phnnom Penh selepas terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 27 JANUARI 2023.

SEPANG – Remaja berusia 16 tahun sanggup mendakwa dirinya mengidap autisme kerana enggan memberikan keterangan kepada polis sebelum dibawa pulang daripada Kemboja.

Menurut Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, remaja yang berasal daripada Sarawak itu merupakan salah seorang daripada lima lima warga tempatan yang berjaya dibawa pulang hari ini selepas terkandas di Kemboja akibat sindiket penipuan kerja.

Jelasnya, ada di antara mangsa yang enggan memberi keterangan kepada polis kerana tidak mahu disabitkan sebagai melakukan jenayah selepas tertipu dengan sindiket berkenaan.

“Mereka ini tahu kehadiran mereka di Kemboja adalah untuk mendapat kerja contoh pekerja kasino. Di sana (Kemboja) pekerja kasino tidak salah dan berlesen tapi  sampai secara sah mereka ditipu untuk bekerja sebagai scammer (penipu dalam talian).

“Ada yang tidak capai permintaan majikan jadi mereka tipu pihak berkuasa kata mereka mangsa sindiket untuk berhubung dengan pihak berkuasa,” katanya ketika sidang media selepas menyambut ketibaan kelima-lima warga tempatan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Bagaimanapun, Abd Jalil berkata, polis curiga bagaimana remaja autisme boleh mengembara seorang diri sehingga ke Kemboja.

“Kami hairan bagaimana remaja yang autisme boleh naik kapal terbang sendiri sehingga ke negara berkenaan untuk bekerja di sana,” katanya.

Kesemua warga tempatan yang dibawa pulang pada hari ini berusia di antara 16 hingga 42 tahun dan hanya seorang daripada mereka merupakan wanita.

Kesemua mereka sebelum ini  berada di negara tersebut dalam tempoh dua bulan hingga dua tahun sebelum ditahan di Depoh Imigresen Kemboja.

Terdahulu, Abd Jalil berkata, sehingga 26 Januari 2023 polis menerima 262 laporan polis melibatkan 330 orang mangsa terkandas di luar negara akibat jenayah penipuan kerja.

Daripada jumlah mangsa tersebut, seramai 218 orang berjaya diselamatkan manakala 113 lagi masih terkandas di Kemboja, Myanmar, Laos dan lain-lain.

Bagi negara Kemboja, seramai 116 daripada 145 orang mangsa yang terkandas telah berjaya diselamatkan.

Seramai 29 orang lagi masih terkandas di negara tersebut termasuk enam mangsa yang sedang ditahan di depoh Imigresen Kemboja kerana pelanggaran undang-undang imigresen. – MalaysiaGazette