Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bercakap kepada media selepas hadir pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 27 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini telah menggantung keahlian bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar selama enam tahun.

Noh yang turut menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tindakan parti terhadapnya.

“Dalam mesyuarat tadi bila diumum saya digantung enam tahun saya kata tidak, jangan gantung saya, pecat saya lebih baik.

“Untuk apa saya berada dalam parti yang sudah lari daripada perjuangan.

“Buat apa saya berada dalam parti yang saya telah berkorban sejak 1977 tetapi nampaknya menggunakan parti untuk kepentingan peribadi,” katanya kepada media di lobi Menara Dato’ Onn di sini malam ini.

Beliau keluar sebelum mesyuarat selesai.

Ditanya reaksi Ahmad Zahid terhadap permintaan untuk terus dipecat, Noh berkata, Presiden UMNO bersetuju dengan permintaan tersebut.

“Lain-lain semua diam. Presiden kata ok, kalau nak pecat kita pecat. Dia kata dengan ini, saya pecat Tan Sri Noh. Saya ucapkan terima kasih, apa-apa gantung,” kata Noh.

Tambah beliau, MKT UMNO tidak memberikannya sebarang alasan terhadap tindakan disiplin dikenakan itu.

Noh turut mempersoalkan tindakan yang dikenakan ke atas dirinya memandangkan dia hanya akan bertemu dengan Lembaga Disiplin UMNO pada 30 Januari ini.

“Sedangkan Lembaga Disiplin panggil saya Isnin ini. Kalau Lembaga Rayuan saya akan pergilah. Ini Lembaga Disiplin,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan hadir pada hari tersebut.

“Ini contoh bagaimana parti tidak ikut peraturan. Lembaga Displin belum membuat keputusan saya telah pun diberi hukuman. Buat apa saya pergi (jumpa Lembaga Disiplin),” dakwanya.

Noh turut mengesahkan beberapa pemimpin UMNO yang lain turut diambil tindakan sama.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama-nama terbabit dan meminta media menunggu pengumuman rasmi.-MalaysiaGazette