KUALA LUMPUR – Pertanian merupakan sektor yang penting dan strategik kepada negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Universiti Putra Malaysia (UPM) UPM berperanan besar dalam menyumbang solusi bagi mengatasi salah satu daripada cabaran dan masalah dunia, iaitu krisis ketidakcukupan bekalan makanan.
“Pertanian bukan lagi hanya berkisar tentang penanaman, penternakan mahupun perikanan tetapi ia juga melibatkan bidang
dan cabang ilmu lain seperti sains, matematik, pemasaran, perniagaan dan sebagainya.
“UPM perlu meningkatkan keserakanan universiti dan industri terutamanya dalam perkongsian sumber bagi melonjakkan sektor pertanian secara keseluruhannya dan tidak memfokuskan hanya kepada output tetapi outcome kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Mohamed Khaled mengadakan lawatan ke UPM.
Menurutnya, universiti juga tidak boleh hanya menekankan kepada pengeluaran penanaman, penternakan mahu pun perikanan.
Universiti juga perlu memberi perhatian kepada nilai tambah produk yang dihasilkan untuk industri spin-off yang lumayan dan
menguntungkan negara.
“UPM mempunyai begitu banyak hasil penyelidikan dan berperanan mewujudkan program-program yang kuat dan kukuh kepada masyarakat melalui program social entrepreneurship dan social innovation.
‘Saya telah menyatakan bahawa universiti berperanan untuk mendidik, melatih serta meningkatkan libat urus dan jaringan dengan masyarakat bagi membolehkan ilmu dan penemuan baru
di universiti dikongsi dan dipindahkan,” ujarnya.
Melalui perkongsian dan pemindahan ilmu, kepercayaan masyarakat kepada universiti dapat sentiasa dipertahankan.
Ilmu dan penemuan baru tidak boleh hanya disimpan di universiti, katanya.
“Bagi pihak KPT, saya memberi jaminan dan komitmen untuk
sentiasa memberikan sokongan kepada UPM.
“Saya menaruh harapan yang tinggi kepada UPM dalam menjayakan masyarakat dan negara. UPM berperanan membantu negara dalam berhadapan dengan sebarang masalah dan cabaran yang dihadapi, khususnya berkenaan cabaran dan jaminan bekalan makanan,” katanya.- MalaysiaGazette