Abdul Razak Abdul Rahman.

MELAKA – Aduan kes kerosakan tanaman akibat babi hutan di Melaka mencatatkan peningkatan sejak kebelakangan ini, menurut Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Sehubungan itu katanya, kerajaan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka kini mempergiatkan lagi usaha menangkap haiwan liar itu.

“Sekarang di Melaka masalah yang kita sedang hadapi adalah usaha membanteras babi hutan perosak tanaman yang semakin banyak diadukan kebelakangan ini.

“Walaupun operasi menangkap babi hutan dilakukan berterusan sejak dua tahun lalu, kita akan pergiatkan lagi termasuk menambah bilangan sangkar,” katanya.

Mohd Ali (kiri) menyantuni peniaga sambil dibantu Abdul Razak (kanan) di Program Melaka Agro Market (MAM) dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di Bukit Katil, Melaka hari ini

Beliau berkata demikian pada Program Melaka Agro Market (MAM) dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di sini yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Mengulas lanjut Abdul Razak berkata, sejak 2021, sebanyak 1,287 babi hutan di Melaka berjaya dihapuskan dengan daerah Melaka Tengah mencatatkan sebanyak 515 ekor, diikuti Jasin (229 ekor) dan Alor Gajah (543 ekor).

Tambahnya, aduan diterima bagaimanapun tidak terhad di kawasan tertentu seperti lokasi panas atau kebun tanaman semata-mata.

“Susah untuk cakap lokasi tumpuan babi hutan ini kerana ada juga aduan yang kita terima walaupun kawasan itu hutannya kecil dan bukanlah lokasi hutan besar sahaja.

“Sebab itu, bila dapat aduan, kita akan terus pasang dan tambah bilangan sangkar bagi mengurangkan populasi haiwan perosak tanaman ini,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast